Saturday, August 15, 2009

Pemulihan Tanah Tercemar

























Biopemulihan didefinisikan sebagai proses penghuraian bahan pencemar dengan menggunakan organisma hidup yang kebiasaanya mikroorganisma. Ia secara semulajadi menggunakan bakteria atau mikroorganisma bagi menghuraikan bahan berbahaya. Mikroorganisma yang digunakan kadang kala daripada spesis asing yang tidak terdapat dalam kawasan tanah tercemar. Sebatian bahan pencemar akan ditransformasikan oleh mikroorganisma melalui tindakbalas yang merupakan sebahagian dari proses metabolik. Biodegredasi bahan pencemar selalu berlaku disebabkan oleh tindakan berganda oleh mikroorganisma yang hadir. Apabila mikroorganisma dibawah ke kawasan tanah tercemar sebagai agen biopemulihan proses bioaugmentasi dilakukan. Proses ini dilakukan untuk menambahkan jumlah mikroorganisma bagi mempercepatkan proses penghuraian.

Bagi menjadikan proses biopemulihan berlaku dalam keadaan yang cekap, mikroorganisma mesti bertindak selaku enzim terhadap bahan pencemar tanah dan menukarkannya kepada bahan yang tidak berbahaya dalam tempoh masa yang pendek. Biopemulihan juga akan bertambah efektif sekiranya keadaan persekitaran dapat meransang terhadap pertumbuhan dan aktiviti mikroorganisma. Untuk meningkatkan kecekapan penggunaan mikroorganisma ia perlu melibatkan kawalan terhadap beberapa parameter yang membolehkan pertumbuhan mikroorganisma dan proses penghuraian berlaku pada kadar yang pantas. Antara parameter tersebut ialah oksigen, nutrien, kelembapan tanah, suhu dan pH.

Seperti teknologi pemulihan tanah yang lain, biopemulihan juga mempunyai keterbatasan yang tersendiri. Sesetengah bahan pencemar, seperti organik berklorin atau hidrokarbon aromatik mempunyai kerintangan terhadap tindakan mikrob. Ia dihuraikan secara perlahan atau tidak dihuraikan secara lengkap.Walau bagaimanapun teknik biopemulihan adalah lebih ekonomik berbanding dengan kaedah pembakaran (incineration) dan sesetengah bahan pencemar boleh dirawat ditapak dan ini mengurangkan tahap risiko pendedahan kepada pekerja. Biopemulihan dianggap sebagai suatu proses semulajadi oleh itu ia lebih diterima berbanding teknologi yang lain. Teknik ini pernah digunakan bagi merawat dan memulihkan persisiran pantai di Alaska setelah berlakunya tumpahan minyak di laut oleh kapal Exxon Valdez pada tahun 1989.




Kaedah pemulihan tanah dengan menggunakan Phytoremediation. Ia merupakan kaedah pemulihan tanah tercemar dengan menanam tumbuhan yang khusus di tapak tanah tercemar. Tumbuhan bertindak dengan menyerap bahan – bahan toksik melalui akar. Ia boleh digunakan untuk menyingkirkan logam berat, pestisid, pelarut organik, sisa bahan letupan dan minyak mentah yang mencemari tanah. Ada lima faktor utama yang diambil kira dalam usaha merawat tanah tercemar dengan mennggunakan kaedah ini iaitu potensi penyejatan dan transpirasi tumbuhan terhadap air bawah tanah, penghasilan enzim penghurai, kadar perkembangan tumbuhan yang digunakan, kepanjangan zon akar dan potensi bioakumulasinya. Tumbuhan daripada genus Populus sp. pernah digunakan bagi merawat tanah yang tercemar oleh TCE (trichloroetylene) dan sisa bahan letupan seperti TNT dan RDX.

No comments:

Post a Comment