Wednesday, January 28, 2009

Bergerak Ke Arah Ekonomi Rendah Karbon Melalui Penggunaan Lestari

Seandainya 27 juta rakyat Malaysia berjaya menukar cara kepenggunaan ke arah kelestarian sudah pasti ia dapat menyumbangkan kepada keharmonian alam sekitar negara. Penggunaan Lestari didefinisikan sebagai penggunaan perkhidmatan dan barangan yang berkaitan dengan keperluan asas yang membawa kepada suatu kualiti hidup yang lebih baik, dalam masa yang sama ia mampu mengurangkan penggunaan sumber – sumber semulajadi, bahan – bahan toksik, dan juga pelepasan sisa dan bahan cemar melalui kitar hayat dengan ini ia tidak menafikan keperluan untuk generasi akan datang.


Penggunaan Lestari menerima pengiktirafan antarabangsa di Sidang Kemuncak Rio (UNCED) pada tahun 1992. Pelan Bertindak Agenda 21 telah diketengahkan, dimana bab ke 4 menekankan ”Perubahan Corak Penggunaan”. Agenda 21 juga menerangkan penyebab utama berterusanya pencemaran alam sekitar adalah banyak disebabkan corak atau gaya kepenggunaan yang tidak lestari terutamanya di dalam industri. Pelan bertindak itu juga mencadangkan pelaksanaan polisi kebangsaan, meliputi penggunaan instrumen ekonomi seperti sistem cukai dan deposit/pembayaran semula semula yang boleh mempengaruhi tabiat penggunaan ke arah kelestarian.


Enam belas (16) tahun selepas konvensyen Rio, masih banyak yang tidak dilaksanakan oleh kita. Ini bukan bermakna kita perlu kembali ke zaman batu. Apa yang perlu kita lakukan ialah dengan melaksanakan perkara yang mudah dan dapat membantu mengurangkan pencemaran alam sekitar oleh setiap individu.


Sebagai contohnya, WHO mencadangkan penggunaan air untuk setiap individu adalah 165 liter bagi setiap orang sehari dan kita sebenarnya menggunakan 300 hingga 350 liter seorang sehari. Tetapi jika kita mampu jimat 1.5 liter air sehari setiap seorang hanya untuk sehari, jumlahnya sama dengan keperluan air bagi setahun untuk Wilayah Persekutuan Labuan.


Bagaimanakah air amat berkait rapat dengan pelepasan aras karbon yang rendah ke udara ? Rawatan air sepenuhnya bergantung kepada tenaga elektrik dan kebanyakan tenaga elektrik dijanakan oleh bahan api fosil dan gas asli. Setiap kali penjanaan tenaga pembakaran bahan api fosil dan gas asli akan membebaskan gas karbon dioksida ke udara.

Ia memberi kefahaman kepada setiap dari kita untuk menyedari dan mengetahui dari manakah barangan atau perkhidmatan kita berasal. Penggunaan lestari banyak bergantung kepada Penghasilan Lestari. Ia membawa idea pengurusan cradle to cradle (dari buaian ke buaian). Apa maknanya ? Dengan mudah ia bermaksud kita perlu melihat kitar hayat produk dan perkhidmatan. Ia boleh memandu kepada banyak persoalan seperti :-

1. Bagaimana ia dihasilkan?
2. Berapa banyak impak yang boleh berlaku kepada alam sekitar dan pelepasan karbon ?
3. Adakah sebarang pengikitirafan atau pensijilan bagi sesuatu perkhidmatan dan produk?
4. Bagaimanakah kita mampu mendapatkanya?


Cuba kita lihat kaedah lama dalam pengeluaran produk atau barangan, pendekatan ‘cradle to grave’ (buaian hingga ke liang lahad) dimana diakhir kitar hayatnya pengguna membuang produk atau barangan terpakai. Pendekatan ini merupakan amalan yang tidak mesra alam dan menghasilkan pelepasan karbon yang tinggi.


Apabila kita memasukan elemen penggunaan lestari, pengguna mula menyedari tentang hakikat dan keperluan memilih barangan – barangan yang disijilkan sebagai Eco – Freindly (Mesra-Eko). Pendekatan ‘Cradle to Cradle’ (buaian ke buaian) sebenarnya amat memerlukan penglibatan semua pihak.

Aspek yang ditunjukan dalam rajah 2 adalah hampir serupa tetapi dengan sedikit tambahan ciri – ciri mesra alam yang ditambahkan kepadanya. Ia menjadikanya agak menarik dan pada masa yang sama juga agak sukar. Aspek yang akan timbul adalah mengenai ‘Bahan Mentah’ samada ia boleh diperbaharui atau adakah ia dihasilkan secara lestari. Sebagai contohnya kitar semula logam akan menyebabkan pencemaran terhadap alam sekitar disebabkan oleh pelepasan karbon, namun ia agak rendah jika dibandingkan dengan aktiviti perlombongan dengan mengambil sumber - sumber semulajadi secara besar - besaran. Dalam konteks pertanian pula, Penggunaan Lestari contohnya dalam perladangan secara organik menjadikan sayuran selamat dan mesra-eko dengan mengamalkan “Amalan Baik Pertanian”.


Pengeluaran barangan menjadi bidang penting dalam memastikan pendekatan ‘cradle to cradle’ maju kehadapan. Rekabentuk barangan boleh memastikan yang mana bahan mentah adalah daripada sumber mesra – eko digunakan. Proses pengeluaran secara lestari dengan pengurangan sisa ditempat ia dihasilkan dan penggunaan bahan pembungkus yang boleh dikitar semula digunakan. Pembuat juga harus merekabentuk barangan yang boleh di ceraikan dan dipasang dengan mudah. Ia boleh membantu pengurusan sisa setelah digunakan.


Pengguna mempunyai peranan penting apabila membeli barangan – barangan mesra –eko atau menggunakan perkhidmatan mesra –eko. Mereka boleh membantu sesebuah industri untuk kekal dan maju. Isu penguatkuasaan juga amat penting sebagai mana kita inginkan pengguna- pengguna untuk membeli barangan dan perkhidmatan yang hanya disijilkan. Barangan dan perkhidmatan lestari seharusnya juga mengambil kira kumpulan berpendapatan pertengahan dan rendah yang mana mereka merupakan pemegang kuasa beli yang cukup besar.


Barangan – barangan yang mesra-eko mempunyai peranan penting sebagai ‘pendidik’ kepada pengguna, ianya dapat memastikan pengguna untuk melupuskan barangan secara betul. Konsep 3R merupakan suatu yang praktikal bagi setiap isi rumah. Konsep 3R (Reuse, Reduce dan Recycle) boleh digunakan untuk mencapai budaya penggunaan lestari dikalangan rakyat Malaysia.

Perancangan menjadi suatu aspek penting bagi mengurangkan penggunaan barangan yang tidak diperlukan dan membeli hanya perkara yang diperlukan sahaja. Pengguna harus juga sedar bahawa mereka seharusnya juga mengambilkira aspek pembungkusan apabila membeli barangan.

Pengguna seharusnya menyokong bahan pembungkusan yang boleh di guna semula dan boleh dikitar semula (bekas makanan, botol, pembungkus berasakan kertas atau kotak yang digunakan untuk membungkus barangan yang dibeli). Memilih kertas pembungkusan yang baik mampu mengurangkan sisa pepejal yang dihasilkan oleh pengguna.Pengguna juga seharusnya bijak memilih barangan yang boleh diguna dan dikitar semula seperti botol kaca, pembungkus berasaskan kertas, pembungkusan berasakan logam dan bateri boleh dicaj semula yang mampu digunakan berulang kali sebelum ia dikitar semula. Pengguna juga boleh membawa beg mereka sendiri untuk membawa barangan yang dibeli. Ini boleh mengurangkan penggunaan bahan – bahan untuk pembungkusan.


Dalam konteks 3R, R yang pertama akan membantu pengguna dalam melaksanakan R yang kedua, Reuse. Pengunaan semula bahan pembungkusan adalah penting bagi mengurangkan penghasilan sisa : Penggunaan semula bekas makanan untuk menyimpan produk yang sama (produk isian semula), baju lama boleh digunakan semula sebagai sarung kusyen dan pengelap lantai. Di pejabat misalnya penggunaan kedua – dua belah kertas untuk mencetak.
Bagi barangan berbentuk pepejal dan bersaiz besar seperti barangan elektrik, baju, buku dan perabot ia tidak mudah untuk dilupuskan ia juga tidak sesuai untuk disimpan di dalam stor dalam tempoh masa yang lama. Sekiranya ia masih berkeadaan baik ia boleh disumbangkan kepada pusat masyarakat dan sekolah. Sekiranya ia berkeadaan tidak sempurna dan tidak baik ia boleh dilupuskan dengan cara yang betul dan baik di pusat kitar semula dan pusat pengumpulan barangan.


R yang terakhir iatu Kitar semula. Segelintir daripada masyarakat kita beranggapan bahawa industri kitar semula adalah industri yang tidak mencemarkan. Namun ia tidak benar sepenuhnya, kitar semula sebenarnya juga memberikan impak terhadap alam sekitar melalui pelepasan gas – gas atau bahan kimia semasa proses pengekstrakan bahan yang boleh dikitar semula tetapi dalam kadar yang agak minima dan terkawal. Ia juga lebih bersifat mesra alam berbanding dengan penggunaan bahan mentah dari sumber semulajadi.Langkah terakhir ini membawa kepada pemulihan dan pengembalian semula bahan mentah kedalam kitar hayat penghasilan produk. Apabila kitaran ini berlaku, pelepasan karbon akan mampu dikurangkan.

Mungkin sesetengah daripada kita akan bertanya adakah amalan kepenggunaan boleh berjaya diurus dengan suatu sistem tertentu? Kita seharusnya melihat contoh negara – negara Kesatuan Eropah yang kini bergerak pantas dalam bidang ini. Mereka mempunyai sumber semulajadi yang terhad. Masyarakat di Eropah membayar harga yang tinggi untuk membeli barangan seharian. Adakah kita ingin menunggu sehingga jadi seperti mereka atau lebih baik bersedia ?
Kita perlu melihat pendekatan ini dalam suatu konteks yang 'bersepadu' dimana pengguna, industri dan kerajaan mesti berkerja saling bantu membantu untuk merealisasikan agenda Penggunaan Lestari.

Kita memerlukan industri untuk memulakan Penilaian Kitar Hayat (LCA) untuk melihat secara mendalam proses dan pendekatan yang tersedia untuk melestarikanya. Melalui perancangan jangka panjang dan program – program pendidikan dan kesedaran kepada pengguna, kita boleh mengubah gaya hidup kita dan bergerak ke arah pendekatan ’cradle to cradle’.


Ingatlah bahawa inilah satu – satunya bumi untuk kita tinggal. Kita meminjamnya daripada anak cucu kita dan kita perlu memulangkan kepada mereka sebagaimana kita telah meminjamya.

1 comment: