Kejadian tanah runtuh, sungai tercemar dan pembuangan sisa toksik secara haram merupakan sebahagian dari isu yang mewarnai alam sekitar Malaysia. Segelintir masyarakat membuat kesimpulan mudah dengan menyatakan bahawa prestasi alam sekitar negara pada tahap kurang memuaskan. Namun sehingga kini tiada sebarang pembuktian secara sistematik diguna bagi mengukur pencapaian alam sekitar negara secara menyeluruh. Jesteru, Indeks Prestasi Alam Sekitar Malaysia (IPASM) perlu diwujudkan bagi mengetahui sejauh mana pencapaian alam sekitar negara dalam konteks pembangunan lestari.
Indeks boleh difahami sebagai pendekatan sistematik yang memberi nilai bagi mewakili sesuatu tahap perbandingan dan pencapaian. Secara umumnya untuk mengukur pencapaian sesuatu bidang dengan menggunakan pendekatan indeks, bukanlah suatu yang baru bagi negara. Ia telah digunakan secara meluas contohnya dalam mengukur indeks inflasi, indeks keluaran dalam negara kasar, indeks pengangguran dan indeks kualiti hidup. Walaubagaimanapun pembangunan indeks bagi pencapaian alam sekitar agak rumit dan kompleks. Ini kerana ia perlu melibatkan banyak petunjuk atau indikator yang mempunyai hubungkait dengan alam sekitar.
Di peringkat global Institut Pembangunan Lestari Antarabangsa yang berpusat di Kanada melaporkan sehingga mac 2004 sebanyak 600 inisiatif diwujudkan oleh kerajaan, NGO dan institusi diseluruh dunia bagi membangunkan indikator untuk mengukur kelestarian pembangunan. Kini terdapat beberapa indeks yang berkaitan dengan alam sekitar diwujudkan dikebanyakan negara antaranya ialah Indeks Pencemaran Udara, Indeks Kualiti Air Sungai, Indeks Pembangunan Lestari (Environmental Sustainability Index), Indeks Kebolehterancaman Alam Sekitar (Environmental Vulnerability Index) dan Greendex. Walaubagaimanapun kewujudan indeks ini kelihatan terpisah - pisah dan tidak dapat menggambarkan secara keseluruhan kemajuan dan pencapaian alam sekitar sesebuah negara. Oleh itu usaha kearah membangunkan indeks prestasi alam sekitar dengan mengabungkan indikator - indikator penting berkaitan alam sekitar amat diperlukan.
Pembangunan indeks bagi menilai prestasi alam sekitar telah diusahakan oleh sekumpulan penyelidik dari Universiti Yale (Pusat Kajian Polisi dan Undang - Undang Alam Sekitar) dan Universiti Columbia (Pusat Jaringan Maklumat Sains Bumi) dengan kerjasama Forum Ekonomi Sedunia dan Pusat Penyelidikan Bersama Suruhanjaya Eropah. Ia telah dimulakan seawal tahun 1999 sehingga 2005 dengan memperkenalkan Indeks Kelestarian Alam Sekitar (Environmental Sustainable Index (ESI)). Pada tahun 2002 para pengkaji telah melakukan anjakan perspektif baru untuk menampilkan indeks yang bersifat mesra pengguna dengan pendekatan indikator berorientasikan hasil iaitu melalui pengenalan Indeks Prestasi Alam Sekitar -IPAS (Environmental Performance Index (EPI)).
Ia merupakan satu kaedah penaksiran secara berangka bagi menandaaraskan prestasi berdasarkan polisi alam sekitar sesebuah negara. IPAS dibentuk sebagai membantu menilai pencapaian sasaran ke empat didalam Matlamat Pembangunan Milinium yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu iaitu bagi memastikan pembangunan alam sekitar secara lestari.
Kumpulan pengkaji ini telah mengeluarkan Laporan Indeks Prestasi Alam Sekitar pada tahun 2006 dan 2008. Ia melibatkan 149 buah negara termasuk Malaysia. Sebanyak 25 indikator telah digunakan yang merentasi enam polisi utama yang berkaitan dengan alam sekitar. Ianya termasuklah kesihatan alam sekitar, pencemaran udara, sumber air, biodiversiti dan habitat, sumber semulajadi produktif dan perubahan iklim. Pada tahun 2006 Malaysia menduduki tempat ke 9 dengan indeks mata 83.3 dan jatuh ke tangga ke 27 dengan peningkatan indeks mata 84.0 pada tahun 2008.
Bagi negara maju dan kaya pembangunan indeks bagi menilai prestasi pembangunan yang terdiri daripada indeks alam sekitar terangkum dalam ‘indeks komitmen pembangunan’ ianya telah dijalankan oleh Pusat Bagi Pembangunan Global (The Center for Global Development) yang berpusat di Washington. Kajian dibuat terhadap 21 negara maju di dunia. Indeks ini digunakan sebagai membantu negara maju menilai tahap prestasi pengurusan alam sekitar dan seterusnya menilai impaknya terhadap negara - negara membangun dan miskin. Laporan dari pusat itu bagi tahun 2008 menyenaraikan tiga buah negara teratas dalam indeks pencapaian alam sekitar iaitu Findland, Ireland dan Norway. Sumber maklumat dan data yang mencukupi berkaitan dengan alam sekitar di negara maju menyebabkan pembangunan indeks ini dapat dikembangkan dengan baik. Ia juga menunjukan keseriusan negara – negara maju untuk membangunkan negara mereka secara lestari. Hal ini seharusnya di contohi oleh negara – negara membangun termasuk Malaysia.
Bagi negara - negara membangun dan miskin masalah besar dalam usaha membangunkan indeks ini adalah disebabkan kekurangan data dan maklumat untuk dianalisa bagi mengukur prestasi alam sekitar. Ini disebabkan oleh masalah kewangan dan kekurangan infrastruktur serta kesedaran dalam melaksanakan program pemantauan alam sekitar. Hal ini menyebabkan data - data sukar diperolehi. Ini sekaligus memberikan masalah dalam usaha untuk memandu arah pembangunan di negara - negara membangun dan miskin kearah mencapai kelestarian.
Dalam konteks Malaysia, keperluan untuk mengadakan IPASM ini amat diharapkan. Walaupun terdapat indeks prestasi alam sekitar yang telah dibuat diperingkat global oleh Universiti Columbia dan Universiti Yale namun ia masih memerlukan penambahbaikan dengan mengambil kira faktor geografi, sosial, ekonomi dan potensi Malaysia dalam membangun secara lestari. Terdapat tiga potensi dan kelebihan yang perlu di manfaatkan oleh Malaysia untuk membangunkan indeks prestasi alam sekitarnya sendiri.
Pertama; kewujudan institusi pengajian yang mengadakan program penyelidikan mengenai alam sekitar. Terdapat lebih kurang 13 IPTA yang menawarkan program yang berkaitan dengan alam sekitar. Kumpulan penyelidik dan pensyarah yang terdapat di Universiti berkenaan boleh dimanfaatkan untuk melaksanakan program ini. Kebanyakan saintis di dalam negara telah diiktiraf diperingkat antarabangsa. Kajian dan pembangunan boleh dilaksanakan diantara universiti dan juga agensi kerajaan serta pertubuhan alam sekitar untuk membangunkan IPASM.
Kedua; kekuatan dari sumber data yang berkaitan dengan alam sekitar. Antara data - data yang boleh digunakan adalah seperti laporan kualiti alam sekeliling yang mengandungi fakta dan statistik mengenai kualiti air sungai dan laut, status kualiti udara, serta penjanaan bahan buangan toksik dan berbahaya. Selain itu juga terdapat laporan - laporan yang dikeluarkan setiap tahun oleh agensi kerajaan yang boleh digunakan sebagai asas membangunkan IPASM.
Ketiga; keseriusan kerajaan dalam melaksanakan program pemantauan alam sekitar secara berterusan. Ini memberi kelebihan bagi negara untuk menilai indeks prestasi alam sekitar setiap tahun. Sehingga kini terdapat beberapa agensi kerajaan yang mengadakan program berterusan bagi memantau segmen alam sekitar utama seperti udara, air, ekosistem hutan dan tanah tinggi. Pemantauan berterusan memberi maklumat dan data yang penting bagi mengesan sebarang perubahan yang berlaku terhadap petunjuk - petunjuk alam sekitar yang utama. Ini boleh memberi gambaran yang jelas mengenai status prestasi alam sekitar semasa.
Pembangunan IPASM di Malaysia sebenarnya dapat membantu memandu arah pembangunan negara ke arah kelestarian. Sekurang - kurangnya terdapat enam manfaat yang boleh diambil oleh pembuat keputusan dan perancang pembangunan dengan adanya pembangunan IPASM. Pertama; ia mampu mengenalpasti masalah semasa dan memberikan prioriti kepada isu alam sekitar yang perlu diberikan keutamaan. Ini memberikan kelebihan kepada pihak berkuasa untuk merancang dan menumpukan usaha bagi mengatasi isu dan masalah alam sekitar yang perlu diberikan perhatian berdasarkan skala permasalahanya.
Kedua; kewujudan IPASM dapat merekodkan tren kawalan pencemaran dan pengurusan sumber asli. Tren kawalan pencemaran dan pengurusan sumber asli mampu dikenalpasti melalui nilai indeks yang telah dibentuk. Dalam hal ini, faktor yang menyumbang kepada tren perubahan dapat dijangka dan dikawal terlebih awal. Langkah - langkah pemulihan dapat diatur bagi memastikan pembangunan lestari dapat dicapai dengan baik.
Ketiga; IPASM memberi maklumat tentang keberkesanan langkah yang telah diambil dan memberikan input bagi melaksanakan penambahbaikan. Keempat; ia menyediakan perbandingan data garis dasar dan indeks pencapaian merentasi pelbagai sektor. Pelbagai maklumat pembangunan dalam pelbagai sektor seperti kesihatan alam sekitar, kualiti udara dan air, biodiversiti, ekonomi dan populasi dapat dibandingkan pencapaianya.
Kelima; IPASM dapat menyediakan petunjuk aras kelestarian pembangunan, ini membolehkan negara menetapkan sasaran pencapaian IPASM ke arah mencapai matlamat pembangunan lestari dan menyelesaikan masalah alam sekitar berasaskan sektor indikator yang terlibat. Keenam; dengan wujudnya IPASM negara dapat membentuk satu model polisi pembangunan alam sekitar yang baik dan dapat dicontohi dikalangan negara - negara membangun.
Sejak dari Rancangan Malaysia Ke 7, negara telah meletakan sasaran yang tinggi untuk membangun secara lestari. Oleh itu amat wajarlah suatu indeks prestasi alam sekitar di wujudkan bagi mengukur pencapaian alam sekitar dan memberikan kefahaman masyarakat tentang status alam sekitar negara. Ia juga diharap dapat mengukuhkan persiapan negara bagi mencapai matlamat wawasan 2020 sebagai negara maju dalam tempoh 11 tahun dari sekarang.
indeks kualiti hidup atau Quality of Life Index telah dibangunkan untuk wilayah lembah Klang. Ianya terdiri daripada bbrp komposit indeks yg salah satunya adalah Alam Sekitar selain jg aspek sosial, fisikal dll. Indkes komposit alams ekitar mernagkumi kualiti udara, air, air minum. Lainya tidak dpt dibentuk krn kesukaran mendapatkan keselarasan data.
ReplyDelete