Tuesday, February 10, 2009

Krisis Air global kian meruncing


Oleh : Abdul Rahman Mahmud

Air merupakan keperluan yang amat penting untuk kehidupan manusia sejagat. Manusia masih boleh hidup tanpa minyak, tetapi manusia tidak akan dapat hidup andainya tidak ada air untuk diminum. Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan sebanyak 1.1 bilion masyarakat dunia kini berhadapan dengan masalah mendapatkan bekalan air bersih. Isu ini merupakan sebahagian besar daripada krisis air global yang semakin meruncing dan mengancam kesihatan manusia.

Kini krisis air bukan sahaja melanda negara – negara miskin dan membangun malahan turut merebak dikalangan negara – negara maju. Krisis air global boleh difahami sebagai isu berkaitan sumber air mentah untuk kegunaan masyarakat serata dunia setiap hari. Krisis air global tidak sahaja dikaitkan dengan ketiadaan akses bekalan air bersih untuk kegunaan harian malah ia turut meliputi masalah berkaitan pencemaran sumber air, perubahan iklim dan isu sumber air yang mengakibatkan ketegangan antara negara. Kebimbangan mengenai krisis air global perlu ditangani secara baik bagi mengelak berlakunya malapetaka besar terhadap seluruh isi planet bumi ini.

Kebimbangan masyarakat dunia terhadap masalah air global bermula sejak bertambahnya populasi dunia dalam beberapa dekad yang lalu. Sejak bermulanya abad ke20 penduduk dunia telah meningkat sebanyak tiga kali ganda diikuti dengan pertambahan permintaan air untuk kegunaan domestik, pertanian dan perindustrian. Ini sekaligus telah mencetuskan polemik yang berterusan diseluruh dunia mengenai keperluan air.

Kebimbangan ini juga telah dizahirkan melalui pelbagai wacana dan forum antarabangsa. Antaranya ialah melalui World Water Forum yang dianjurkan oleh Majlis Air Sedunia (WWC). Forum ini telah berlangsung sebanyak 4 kali bermula pada tahun 1997 hingga tahun 2006 dan bakal dilaksanakan lagi pada mac 2009 di Instabul, Turki dengan tema “Bridging Divides for Water”. Forum ini diadakan bertujuan untuk menghimpunkan cendikiawan, golongan pengubal dasar dan aktivis alam sekitar bagi menentukan hala tuju pengurusan sumber air dunia. Beberapa majalah antarabangsa seperti National Geographic, TIMES dan Newsweek turut memaparkan krisis air yang berlaku diserata dunia terutama sekali negara – negara di wilayah Afrika. Krisis air global tidak sahaja memberi kesan terhadap negara – negara mundur malahan juga telah menjangkiti negara – negara besar seperti Amerika Syarikat dan Eropah.

Para aktivis alam sekitar dunia turut menyatakan kebimbangan mereka dalam karya penulisan buku dan laporan antarabangsa. Antara buku yang dikira paling berjaya membicarakan mengenai krisis air global adalah The World Water yang kini telah memasuki edisi kelima. Dalam edisi terbaru ia membicarakan beberapa tema kontemporari tentang krisis air antaranya, ‘air dan keganasan’, ‘pertikaian antarabangsa mengenai air’ dan ‘keadilan alam sekitar untuk air’. Buku Blue Convenant tulisan Medow Barlow seorang akitivis alam sekitar Kanada, pula memfokuskan mengenai konflik air sejagat yang semakin menyengsarakan kehidupan manusia dan alam sekitar. Beliau menceritakan pelbagai polemik dan politik yang semakin berkembang untuk menguasai kepentingan sumber air di seluruh dunia.

Secara umumnya boleh disimpulkan terdapat tiga isu besar berkaitan dengan isu air global. Isu yang pertama, kekurangan akses bekalan air bersih didunia untuk kehidupan manusia. Dimana penduduk dinegara miskin seperti Zimbabwe, Sudan, Ghana dan Cuba paling teruk dibelenggu masalah bekalan air bersih. Hal ini telah menimbulkan masalah kesihatan terhadap penduduk kerana terpaksa menggunakan air tercemar untuk tujuan sanitasi dan minuman. Negara Ghana misalnya menghadapi masalah pengurusan sanitasi dimana lebih kurang 20 peratus rakyatnya menggunakan sistem sanitasi terbuka. Ini sudah tentu menyumbang terhadap masalah jangkitan penyakit melalui air. WHO melaporkan sebanyak 3900 kanak – kanak mati setiap hari dinegara – negara miskin disebabkan oleh penyakit bawaan air. Anak – anak kecil yang baru dilahirkan terpaksa menderita kekurangan zat dan minuman air bersih untuk pembesaran.

Isu kedua, tentang krisis air global adalah pencemaran sumber air. Laporan PBB pada tahun 2003 menyatakan sebanyak 12,000 meter padu air telah dicemari bersamaan dengan jumlah isipadu 10 sungai terbesar didunia pada masa ini. Seandainya pencemaran terus meningkat bersama dengan peningkatan populasi adalah dijangkakan dunia akan kehilangan sebanyak 18,000 meter padu sumber air bersih menjelang tahun 2050. Sumber pencemaran air bagi sesetengah wilayah didunia berbeza mengikut status kemajuan sesebuah negara.

Pencemaran air di negara miskin banyak berlaku disebabkan oleh ketiadaan sistem sanitasi yang sempurna. Bagi negara membangun sumber pencemaran air adalah disebabkan oleh aktiviti pertanian, kumbahan, perindustrian dan juga projek pembinaan infrastruktur. Manakala bagi negara maju pencemaran air banyak berlaku disebabkan oleh aktiviti perindustrian yang menghasilkan airsia buangan. Pada tahun 2003, Belgium dilaporkan sebagai negara yang paling teruk menghadapi masalah pencemaran air sungai yang kebanyakanya dicemari oleh air sisa industri dan kelemahan sistem sanitasi. Ini diikuti dengan negara Moroco, India, Jordan, Sudan, Burundi dan Rawanda.

Setiap tahun adalah dianggarkan sebanyak 300 hingga 500 juta tan bahan buangan industri yang terdiri daripada bahan enapcemar toksik, logam berat dan pelarut organik mencemari sumber – sumber air di seluruh dunia. Kos rawatan air sungai untuk tujuan minuman semakin meningkat saban tahun dan kerajaan dikebanyakan negara terpaksa membelanjakan wang yang besar untuk rawatan. Di negara kita kos bagi memulihkan setiap batang sungai dianggar memerlukan kos antara RM100 juta hingga RM400 juta bergantung kepada panjang sungai tersebut, bentuk pencemaran dan aspek pemulihannya. Krisis ekonomi yang melanda dunia ketika ini sudah pasti memberi kesan yang besar terhadap projek pemulihan sungai tercemar diseluruh dunia.

Kajian yang dibuat oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) menjangkakan pada tahun 2050 setiap seorang daripada empat penduduk dunia tidak berpeluang untuk menikmati air bersih untuk kehidupan. Laporan World Water Assessment Programme (WWAP) pula menyatakan menjelang tahun 2020, secara puratanya bekalan air untuk setiap penduduk dunia akan berkurangan satu pertiga berbanding sekarang. Fakta ini jelas membuktikan bahawa isu bekalan air bakal menjadi krisis utama dunia pada masa hadapan.

Isu ketiga dalam krisis air global ialah tentang konflik antara negara mengenai sumber air. Di seluruh dunia terdapat lebih dari 215 buah sungai yang dikongsi bersama dua atau lebih negara. Dalam tempoh lima puluh tahun yang lalu, sebanyak 200 perjanjian antara negara yang berkongsi sumber air untuk projek pembinaan empangan dilaksanakan. Selama ini dilaporkan sebanyak 507 konflik antara negara berlaku. Hanya 37 yang melibatkan penindasan yang mana 21 daripadanya melibatkan Israel dan negara jirannya.

Umumnya, konflik banyak berlaku disebabkan oleh ketidaksefahaman dalam pengagihan sumber air, penggunaan berlebihan sumber air dan projek pengalihan aliran air sungai yang sekaligus menimbulkan kemarahan antara negara yang terlibat. Bekas setiausaha ketenteraan Britain John Reid, dalam sidang kemuncak perubahan iklim 2006 pernah menyatakan kemungkinan akan berlakunya ‘perang air’ di negara – negara yang berkongsi sumber air yang sama. Reid meramalkan konflik ketegangan antara negara akan bertambah buruk apabila berlakunya perubahan iklim yang akan mendorong terhadap pencairan ais di antratika, pengontangan sungai akibat kemarau dan pencemaran air sungai oleh sisa industri. Perubahan iklim dijangka akan menyumbangkan sebanyak 20% masalah kekurangan bekalan air menjelang tahun 2050.

Beberapa contoh yang menunjukan konflik dan krisis air diantara negara yang berkongsi sumber air banyak berlaku di negara – negara timur tengah. Misalnya sungai Jordan yang menjadi perebutan krisis antara Israel, Jordan dan Palestin. Turki dan Syria pula berkongsi sungai Euphrates dimana turki merancang untuk membina empangan di sungai Euphrates sehingga menyebabkan konflik diantara turki dan syria pada tahun 1998. Krisis antara Amerika Syarika (AS) dan Kanada juga berlaku dalam isu penguasaan Lembangan Great Lakes. Amerika menggunakan pelbagai cara untuk menguasai kepentingan lembangan sungai tersebut untuk bersaing dengan Kanada. Sempadan antara AS dan Mexico pula menyaksikan konflik air turut berlaku . Dimana beberapa syarikat koporat air di AS cuba menghalang amalan lama petani Mexico mengubah aliran air dari Rio Garde sebelum memasuki AS.

Masa depan pengurusan air dunia semakin mencabar. Pertubuhan Bangsa Bersatu melalui Matlamat Pembangunan Milineum (MDG) meletakan sasaran untuk mengurangkan separuh dari jumlah masyarakat dunia yang mengalami masalah mendapatkan bekalan air bersih menjelang tahun 2015. Usaha ini memerlukan kos biaya yang tinggi. Krisis ekonomi global mungkin akan merencatkan matlamat ini, akibatnya ramai masyarakat yang terus akan menghadapi masalah kekurangan bekalan air bersih.

Dalam konteks Malaysia, pengurusan sumber – sumber air tidak sepatutnya diabaikan. Masalah pencemaran air di negara ini terus berlaku saban tahun. Pada tahun 2006, laporan kualiti alam sekeliling yang dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar melaporkan bahawa sebanyak 18,956 sumber pencemaran punca tetap dikenalpasti. Loji rawatan kumbahan adalah yang tertinggi iaitu sebanyak 47.79 %, industri pembuatan sebanyak 45.07%, ladang ternakan sebanyak 4.58% dan industri berasaskan pertanian sebanyak 2.55%. Laporan itu juga menyatakan daripada 1064 stesen pemantauan kualiti air sungai yang diletakan pada 146 buah lembangan sungai di seluruh negara didapati 619 (58%) stesen mencatatkan kelas bersih, sebanyak 359 (34%) stesen sedikit tercemar dan 86 (8%) stesen dikenalpasti sebagai tercemar. Kita juga pernah mengalami masalah kekurangan bekalan air di sekitar lembah kelang pada tahun 1997.

Kemudahan untuk mendapat bekalan air di negara kita merupakan sesuatu yang harus dihargai dengan bijak oleh setiap anggota masyarakat. Namun ramai yang masih alpa mengenai kepentingan air yang menjadi isu global dan aset bernilai sepanjang zaman. Air merupakan komoditi yang mudah terancam dan aset yang bakal menentukan masa depan dunia. Ia juga merupakan indikator kelestarian pembangunan dunia. Keprihatinan masyarakat perlu dipertingkatkan agar kita menghargai setiap titisan air yang digunakan.
Rujukan :

The World’s Water Water 2006 -2007, The Biennial Report on Freshwater Resourcers, Gary Wolff, Island Press 2006.
Blue Covenant: The Global Water Crisis And The Coming Battle For The Right To Water by Maude Barlow
Laporan Kualiti Alam Sekeliling 2006, Jabatan Alam Sekitar Malaysia
Water crisis - Wikipedia, the free encyclopedia en.wikipedia.org/wiki/Water_crisis
The Human Right to Water, Peter H. Gleick May 2007

No comments:

Post a Comment